Pekerja jatuh bumbung, JKPP keluar notis larangan, sita lokasi kejadian

0
206

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG pekerja lelaki warga tempatan maut selepas terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan bumbung di kawasan tapak pembinaan tempat meletak bas di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang kelmarin itu, mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter.

Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan satu Notis Larangan dan menyita lokasi kejadian serta-merta sehingga siasatan berhubung insiden tersebut selesai dijalankan.

JKPP Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat jabatan itu telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan mengenai kemalangan tersebut.

“Mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter dan dihantar ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia di hospital pagi semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here