POLIS membuka siasatan berhubung satu video tular memaparkan pertelingkahan antara pengawal keselamatan dan orang awam di Hospital Sultan Alam Shah (HoSHAS), Temerloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusof berkata video yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok itu menarik perhatian orang ramai lalu tersebar di media sosial.
“Kami menerima laporan sekitar jam 1.30 tengah hari berikutan penularan video kejadian melibatkan perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di perkarangan HoSHAS.
“Rakaman video itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang bertengkar dan bergaduh akibat rasa tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan siasatan awal, ada pelawat mendakwa pengawal keselamatan telah melewatkan waktu pertukaran penjaga dengan sengaja di salah satu wad sehingga menjadi punca perbalahan dan pergaduhan.
Kata Mohd Azhar, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berikutan kejadian ini.
“Pihak polis juga sedang mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu. Malah, kami turut berharap sesiapa yang menyaksikan kejadian itu dapat tampil untuk menyalurkan maklumat,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.