Pemuda ditemui mati dalam McLaren 570S

SEORANG pemuda ditemui mati dalam sebuah kereta sport mewah jenis McLaren 570S yang disewa, di hadapan sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, petang Isnin.

Menurut laporan BH Online, mayat lelaki berusia 28 tahun itu ditemui orang awam yang seterusnya memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya masih giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini.

“Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya ketika dihubungi BH.

Mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999.