Dua remaja sesat di Gunung Santubong sejak semalam

0
192

DUA remaja yang sedang mendaki Gunung Santubong di Kuching, semalam, sesat dan masih belum ditemukan sehingga kini.

Mereka dipercayai keluar dari trek hutan Permai Rain Forest di gunung tersebut apabila dipercayai tidak mengikuti laluan bertanda.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.42 petang.

“Individu yang membuat laporan itu memaklumkan, dua remaja berumur 19 tahun itu, Gibriel Brodie dan Christian Xavier, disedari hilang ketika berada berdekatan dengan lokasi air terjun.

“Sejurus menerima maklumat itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bersama tujuh anggota polis serta dua kakitangan Kem Permai,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, setibanya di kaunter pendaftaran Kem Permai pada 7.15 malam, komander operasi dimaklumkan, mangsa dipercayai terkeluar dari trek hutan selepas cuba berpatah balik ketika hendak ke lokasi dikenali ‘Blue Pool’.

“Kedua-dua mangsa hanya dapat dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan pasukan SAR cuba mengesan kedudukan sebenar mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa cuba membuat unggun api bagi memudahkan pasukan SAR mengesan mereka selain menghantar lokasi menerusi WhatsApp.

“Bagaimanapun, sehingga tengah malam, kedudukan mereka masih gagal dikesan dan operasi ditangguhkan pada 1.22 pagi.

“Mangsa dipercayai sudah keluar jauh dari trek sebenar sehingga menyukarkan usaha untuk mengesan mereka,” katanya sambil memaklumkan gerakan SAR diteruskan pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here