Bongkar sindiket jual petrol, diesel bersubsidi ke Thailand

0
274

EMPAT individu termasuk seorang pemilik stesen minyak ditahan menerusi dua serbuan di Kangar dan Padanga Besar, Perlis, semalam, selepas mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi ke negara Thailand.

Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis itu dilakukan serentak pada pukul 12.45 tengah hari di sebuah stesen minyak di Kangar dan stor tanpa nombor di Kampung Kolam, Padang Besar.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, empat warga tempatan yagn ditahan itu berusia antara lewat 30-an hingga 50-an.

“Serbuan berkenaan dibuat berdasarkan hasil maklumat orang ramai dan risikan anggotanya selama dua minggu.

“Serbuan pertama dilakukan di stesen minyak berjaya menemui dua kereta jenis Proton Iswara dan Proton Waja yang sarat dengan bekas atau ‘jerry can’ petrol 500 liter dan 420 liter dari jenis RON95 dan diesel.

“Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki dilihat sedang mengisi minyak bersubsidi di dua buah pam petrol berasingan di stesen minyak itu.

“Siasatan kita mendapati pemilik stesen minyak itu bersekongkol dan berkompromi dengan dua lelaki dipercayai anggota sindiket penjualan minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi ini dan transaksi pembayaran bagi pembeliannya dibuat secara tunai di stesen minyak itu,” katanya di Pejabat KPDNHEP Perlis, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, ketiga individu termasuk wanita yang juga pemilik stesen minyak itu berusia lewat 50-an kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan.

“Serbuan itu turut membawa anggota ke sebuah sebuah stor tanpa nombor yang menjalankan perniagaan sejuk beku di Kampung Kolam, Padang Besar yang dijadikan tempat pengumpulan petrol bersubsidi untuk dijual kepada kenderaan asing.

“Kita turut menemukan beberapa buah tong dram yang disyaki berisi petrol bersubsidi dan siasatan mendapati pemilik premis itu tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk memiliki serta menyimpan barang kawalan berjadual daripada pengawal bekalan dan dalam hal ini, seorang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua kes berkenaan adalah dari sindiket yang sama dengan modus operandi mereka adalah pemandu kereta akan mencari stesen minyak di sekitar daerah ini untuk membeli petrol bersubsidi RON95 dan diesel sebelum diisi ke dalam bekas minyak atau ‘jerry can’ yang dibawa dalam kereta mereka.

Mohamad Amir berkata, rampasan petrol dan diesel bersubsidi berkenaan dianggarkan bernilai RM19,056 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala denda tidak lebih RM2,000,000 bagi syarikat yang didapati terbabit dalam kesalahan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here