Jumlah deposit TH melonjak kepada RM88 billion

LEMBAGA Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022, yang menunjukkan peningkatan 16 peratus daripada RM75.92 billion yang direkodkan pada 31 Disember 2020.

Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 yang dilancarkan pada April 2022, TH menyasarkan jumlah deposit sebanyak RM100 billion.

Menurut Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab, peningkatan itu adalah sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga mencapai lebih RM1 billion.

“Untuk rekod, TH telah mencatatkan deposit bersih sebanyak RM1.1 billion bagi April 2022, antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini, menggambarkan keyakinan orang Islam di Malaysia terhadap TH,” katanya kepada Bernama.

TH turut mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi 2021, yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendeposit dalam institusi itu yang akan melibatkan jumlah agihan RM2.46 billion.

Jumlah ini adalah satu peningkatan besar yang dicatatkan berbanding agihan daripada RM2.24 billion pada 2020, kenaikan sebanyak RM219 juta.

Selain itu, Mohamed Ameen juga berkata pihaknya sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan bagi menarik lebih ramai umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun apabila TH mendapati kira-kira 55 peratus daripadanya masih belum mempunyai akaun.

“TH ditubuhkan untuk membantu dan menguruskan umat Islam Malaysia mengerjakan haji yang merupakan antara tuntutan dalam rukun Islam. Maka, penting untuk semua orang Islam Malaysia membuka akaun serta mendaftar haji (mereka yang mampu). Kuota (giliran) haji pula ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

Tambahnya, deposit daripada simpanan akan dilaburkan untuk memperoleh keuntungan yang kemudiannya akan dizakatkan.

“Pada 2021, TH telah menyerahkan zakat berjumlah RM106 juta untuk golongan asnaf di seluruh negara. Sekiranya 55 peratus orang Islam Malaysia yang belum mempunyai akaun TH ini membuka akaun, saiz deposit akan lebih berkembang dan lebih banyak keuntungan boleh dijanakan untuk membantu lebih ramai asnaf di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata TH juga telah menambah baik perkhidmatan selaras dengan kehendak pengguna, dengan pembukaan akaun boleh dilakukan secara dalam talian.

Malah, proses membuka akaun TH hanya memerlukan pengesahan biometrik yang boleh dibuat di mana-mana cawangan TH seluruh negara.

Penambah baik perkhidmatan ini juga menyaksikan kesemua fungsi yang ditawarkan boleh dilakukan dalam bentuk digital atau dalam talian, termasuk transaksi kewangan dan haji.

“Tahun ini, julung kalinya, TH mengeluarkan tawaran haji secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI dan jemaah boleh menjawab tawaran tersebut melalui aplikasi yang sama, tanpa perlu hadir ke cawangan untuk menyerahkan borang penerimaan tawaran.

“Mereka hanya perlu datang ke cawangan untuk menyerahkan pasport dan buku rawatan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Ameen turut menyebut bahawa platform digital THiJARI yang dilancarkan pada Februari 2020 telah mencapai seramai 1.5 juta pengguna dan lebih sejuta pengguna aplikasi di telefon bimbit.

“Setiap hari kami menerima hampir 90,000 transaksi dalam talian. Angka ini menggambarkan penerimaan pendeposit terhadap usaha yang telah kami laksanakan,” katanya.