Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya -

Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

SEORANG peniaga mendakwa ditipu individu dikenali sebagai “Datin Ida” untuk menyertai skim pelaburan Hari Raya secara dalam talian melibatkan kerugian terkumpul kira-kira RM4 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Supt M Zambri Mahmud, berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 6 Mei lalu, apabila pulangan dijanjikan selepas pelaburan dibuat tidak diterima dalam tempoh dijanjikan.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM55,000 bagi RM30,000 yang dilaburkan dalam masa tiga hari.

“Pengadu telah melabur sebanyak RM100,000 seminggu sebelum raya (tarikh tidak dinyatakan) dan pada masa sama pengadu telah mengiklankan pelaburan tersebut ke dalam kumpulan WhatsApp.

“Ramai yang berminat untuk menyertai pelaburan itu dan sebanyak 296 individu telah menyertai skim pelaburan tersebut melibatkan nilai pelaburan oleh rangkaian bawahan pengadu sebanyak lebih kurang RM4 juta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zambri berkata, mangsa menyerahkan semua kutipan wang kepada pihak urusan pelaburan melalui akaun diarahkan “Datin Ida”.

“Semua transaksi kemasukan wang oleh pengadu ada dalam simpanan pengadu. Hasil keuntungan pelaburan itu, pengadu turut diberi bonus daripada Datin Ida sebanyak RM190,000 atas kutipan yang besar dalam tempoh singkat,” katanya.

Namun, menurut Zambri sehingga hari ini mangsa masih tidak mendapat apa-apa pulangan daripada wang yang telah dilaburkan dan merasakan dirinya ditipu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam tempoh singkat.–Bernama