Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SIAPA calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang akan dipilih sekiranya kedua-dua gabungan itu bersetuju menjalin kerjasama politik akan ditentukan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu bukan masalah utama kerana yang penting ketika ini membentuk persefahaman PH dan PN bagi menentang Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada PRU-15.
“Calon Perdana Menteri boleh ditentukan apabila PH dan PN menang serta berjaya membentuk kerajaan campuran selepas PRU-15.
“Calon Perdana Menteri daripada PH atau PN nanti itu biar Yang Dipertuan Agong tentukan. Calon Perdana Menteri nanti kita boleh tengok siapa yang layak dan parti yang mempunyai kerusi lebih banyak.
“Kalau PH sudah tentulah kita menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kita. Apa paling penting ketika ini adalah persetujuan untuk agihan kerusi antara PH dan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi dua pesakit kronik, Den Mohammad Bavagan, 61, dan Jais Abdul, 64, di Perjiranan 8, flat Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Hassan menyampaikan sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang berupa lampin, alas tilam dan wang tunai kepada kedua-dua pesakit itu.
Pada Rabu, Hassan mencadangkan PH dan PN sudah boleh memulakan berbincang berkenaan agihan kerusi untuk PRU-15 bagi mencari jalan yang pragmatik dan praktikal untuk mengelak dua gabungan itu bertembung sesama sendiri.
Sebelum ini PH kekal menamakan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai calon Perdana Menteri manakala PN pula tetap menamakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, persefahaman untuk PRU-15 itu bukan bermaksud parti komponen PH perlu bergabung atau masuk PN, begitu juga sebaliknya kerana kerjasama politik itu bagi mencari kaedah tidak bertembung kerusi.
Katanya, selepas isu pembahagian kerusi dapat dicapai dan calon siapa Perdana Menteri tidak dibangkitkan sehingga menang PRU-15, PN
PH atau PN masing-masing boleh merangka dasar termasuk manifesto PRU-15.
Jelasnya, manifesto itu perlu realistik dan dapat menyelesai masalah rakyat ketika ini antaranya isu ekonomi, menangani hutang negara, inflasi, kenaikan harga barang dan masalah ketiadaan pekerjaan.
“Manifesto ini mestilah ringkas, mampu dilaksana dan bukan retorik. Manifesto ini dibantu golongan teknokrat, ahli ekonomi, pakar dan mereka yang profesional. Ini tawaran kita untuk jangka masa pendek dan dalam tempoh masa lima tahun boleh nampak hasilnya,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.