Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Senarai hitam agensi pembantu rumah yang langgar kontrak -

Senarai hitam agensi pembantu rumah yang langgar kontrak

DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, agensi pembantu rumah yang melanggar kontrak akan disenarai hitam dan tidak lagi dibenar mengambil pekerja domestik dari republik itu.

Beliau berkata, Kedutaan Indonesia kini akan lebih tegas terhadap agensi pembantu rumah bagi menangani pelbagai insiden, termasuk kes penipuan terhadap pekerja domestik dan juga penipuan terhadap majikan.

“Kita letak tanggungjawab lebih kepada agensi. Selama ini, banyak agensi itu sebahagian daripada masalah, bukan sebahagian daripada penyelesaian.

“Kita sekarang akan lebih tegas pada agensi-agensi yang tidak baik, tidak bertanggungjawab. Kami akan serta-merta letak mereka sebagai senarai hitam. Kalau anda tak bisa kerja dengan kami, tak payah ambil pekerja dari Indonesia,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Kuala Lumpur-Jakarta pada April lalu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

MoU itu dilihat sarat dengan perlindungan kepada pembantu rumah dari Indonesia, yang pada Hermono, adalah usaha untuk menangani segala ketidakadilan terhadap kelompok itu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat majikan yang tidak membayar gaji pembantu rumahnya bertahun-tahun, termasuk mereka yang bergelar ‘Datuk’ dan ‘Tan Sri’.

Banyak kes agensi lesap selepas membekalkan pembantu rumah bermasalah kepada majikan dan tidak kurang pula agensi bersikap lepas tangan, apabila majikan membuat aduan bahawa pekerja yang dibekal mereka tidak pandai bekerja, kata Hermono.

“MoU ini sebetulnya memberikan perlindungan kepada majikan juga. Kalau bisakan dia mendapat pekerja yang tidak sesuai dengan kontraknya, dia boleh buat aduan dengan agensinya. Agensinya berkewajipan menyelesaikan persoalan-persoalan (yang timbul),” tegasnya.

Hermono memberitahu, pekerja domestik yang mahu bekerja di Malaysia akan diberikan latihan terlebih dahulu bagi memastikan majikan mendapat pekerja berkualiti.

Namun, tetap ada cabarannya apabila terdapat agensi tidak bertanggungjawab merekrut pembantu rumah tanpa menjalani latihan asas.

“Yang menjadi masalah selama ini, sebetulnya adalah mereka yang bekerja secara tidak sah, pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, sebab mereka ini tidak dipersiapkan. Mereka ini dari kampung, lalu langsung dikirim ke Malaysia, dia tak tahu bekerja. Tapi kalau ikut semua yang ada dalam MoU, ada jaminan majikan pun akan datang pekerja yang terlatih.

“Kalau katakanlah pekerja yang diterima (majikan) tidak sesuai dengan kontrak, agensi bertanggungjawab. Dia harus ganti,” katanya.

Berdasarkan MoU itu, Malaysia dijangka menerima kemasukan pembantu rumah dari Indonesia akhir bulan ini, dengan bayaran gaji minimum RM1,500 sebulan.