PENULARAN penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menyebabkan sebanyak 180 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di seluruh negara ditutup sehingga semalam.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah tersebut, penutupan premis itu adalah membabitkan 105 Tabika dan 75 Taska kecuali di Negeri Sembilan dan Melaka.
Katanya, penutupan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Penutupan Tabika dan Taska selama 10 hari dan selepas tempoh itu, sama ada boleh dibuka atau tidak adalah bergantung kepada keputusan KKM,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama warga Jabatan Kemajuan Masyarakat di Kuantan hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.
Menurut Mahdzir Kemas sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan HFMD melibatkan Tabika dan Taska.
Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu bimbang kerana Kemas sentiasa memantau setiap hari kehadiran kanak-kanak yang hadir ke Tabika dan Taska.
“Kita juga meminta 12,043 Pendidik di Tabika dan 1,837 Pendidik Taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengimbas suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.
“Apabila tamat sesi pembelajaran juga kita buat pemerhatian jika terdapat kanak-kanak mempunyai simptom jangkitan HFMD dan ibu bapa akan dimaklumkan segera untuk membawa anak mereka mendapat rawatan doktor.
“Murid Tabika dan Taska Kemas juga akan diasingkan jika didapati mempunyai gejala HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mahdzir meminta ibu bapa memantau kesihatan anak masing-masing sekiranya mempunyai gejala seperti demam, ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan serta kaki, malah dinasihatkan tidak menghantar mereka ke Tabika atau Taska.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.