Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk -

Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk

SEORANG peniaga pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Ooi Yee Ling, 46, didakwa menipu Wong Kam Poh dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan memulangkan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta itu yang mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM900,000 ke dalam akaun RHB Bank syarikat milik tertuduh.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di 276A, Jalan Sultan Nazrin Shah, Gunung Rapat, di sini antara 10 hingga 27 Okt 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan Ooi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan selain pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik.