SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat mana-mana ahli politik di Melaka berhubung salah laku rasuah berhubung dakwaan kes penyelewengan dana kerajaan serta pelaksanaan projek mega di negeri itu.
Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada mana-mana pihak terhadap mana-mana ahli politik setakat ini.
“Suka saya nyatakan di sini, sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan terhadap ahli politik di Melaka. Itu (dakwaan) lebih kepada khabar angin, kita tak tahu apa yang berlaku, (namun) kita boleh sahkan tidak ada sebarang siasatan membabitkan ahli politik atau mana-mana pihak (berkepentingan),” katanya, lapor Berita Harian.
Mohd. Shahril ditemui media selepas menyertai program Ujian Melepaskan Tembakan dan Kemahiran Pengendalian Senjata Api SPRM Melaka bersama media di Lapang Sasar, Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tiang Dua, Melaka, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan terdapat beberapa ahli politik Melaka bergelar Datuk dan Datuk Seri sama ada sudah dan akan disiasat oleh SPRM dalam tempoh terdekat berkaitan kes berkenaan.
Sementara itu, Mohd Shahril berkata, jumlah senjata api bagi kegunaan pegawai SPRM Melaka dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah rasuah masih mencukupi.
“Walaupun sedikit, ia masih mampu menampung keperluan tugasan pegawai, terutama ketika menjalankan operasi di negeri ini.
“Untuk kapasiti dan jenis senjata yang digunakan, ia sudah mencukupi kerana sekiranya ada operasi besar membabitkan agensi lain, pasukan masing-masing akan bawa senjata sendiri, jadi tiada isu,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.