Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ibu reda pemergian anak, tidak berdendam dengan pemandu bas -

Ibu reda pemergian anak, tidak berdendam dengan pemandu bas

Ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berumur setahun empat bulan, yang maut dilanggar bas sekolah di Salak Tinggi, Sepang, pada Khamis lalu, berharap pihak polis tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemandu berkenaan, menurut laporan dikeluarkan Bernama.

“Saya dan suami reda dengan pemergian anak kami, Zahida Mohammad Kassim, malah kami tidak berdendam dengan pemandu bas tersebut,” kata ibu mangsa, Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37 ketika ditemui media di rumahnya di Sepang, hari ini.

Tambah Zainab, pemandu bas berusia 50 tahun itu telah menghubungi dan meminta maaf kepadanya dan suami, namun mereka masih belum sempat berjumpa.

“Saya pun tak boleh nak salahkan abang bas itu sebab dia pun dah trauma sangat, lagi pun dia susah dan bas dia dah kena sita,” katanya lagi.

Meskipun kehilangan anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu meninggalkan kesan mendalam, Zainab yang bertugas sebagai seorang pembantu kantin merelakan hati untuk memaafkan pemandu bas terbabit.

Menurutnya lagi, dia sudah lama menggunakan khidmat pemandu itu untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Katanya, ketika hari kejadian, dia dan suami sedang bekerja sementara anak-anak mereka dijaga oleh ibu mentuanya.

Sementara itu, kakak kepada mangsa, Nurul Aishah, 13, berkata ketika kejadian, dia baru sahaja turun daripada bas itu selepas memberikan duit perbelanjaan sekolah kepada adiknya yang berusia lapan tahun.

Dia berkata, selepas turun dari bas, dia ternampak Zahida itu di bawah kenderaan yang sedang bergerak.

“Saya cepat-cepat ambil dia sebelum tayar belakang melanggarnya lagi. Saya menjerit dan selepas itu bawa Zahida ke dalam rumah.

“Kemudian, ada jiran datang dan bawa saya dan Zahida serta nenek menaiki kereta ke klinik kesihatan berdekatan,” kata Aishah.

Tambahnya, selepas menyedari Zahida dilanggar, pemandu bas itu segera turun dan meminta maaf kepada neneknya, namun neneknya menyuruh pemandu itu menghantar budak-budak lain ke sekolah dahulu.

“Pakcik datang semula selepas selesai hantar budak-budak. Pakcik cakap dia minta maaf, dia tak nampak Zahida dan secara tidak sengaja melanggarnya,” katanya.

Nurul Aishah menceritakan bahawa adik bongsunya itu adalah seorang kanak-kanak yang ceria serta suka mengekori kakak-kakaknya, serta sangat manja dengan ayah dan nenek.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemandu bas itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada malam Khamis selepas selesai memberi keterangan.

“Kita akan siapkan siasatan dan bawa kertas siasatan ke pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya,” kata beliau.