Kerajaan digesa lebih telus situasi wabak cacar monyet

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) lebih terbuka dan telus dalam memberi penjelasan berhubung situasi jangkitan virus cacar monyet ketika ini.

Naib Presidennya, Baljit Singh berkata, pada masa ini, Kerajaan Pusat seolah-olah memperlihatkan Malaysia tidak berdepan dengan ancaman virus cacar monyet itu yang sedang melanda beberapa negara lain di dunia.

Sedangkan jelas beliau, Malaysia seperti juga negara-negara lain turut terdedah kepada ancaman wabak itu sekali gus perlu berjaga-jaga apatah lagi ketika pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya ketika ini.

Dalam masa sama, beliau menuntut penjelasan KKM berkenaan sama ada terdapat sebarang prosedur operasi standard (SOP) atau tindakan susulan diambil dalam memastikan pengembara dari negara yang terjejas memantau diri dan diperiksa sekiranya dikesan mengalami simptom gejala cacar monyet.

”Kita tidak boleh menafikan virus ini mungkin boleh menjadi satu lagi bom jangka dan KKM mesti bertindak untuk meredakan kebimbangan rakyat berhubung jangkitan virus ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM sebelum ini mengesahkan belum menerima sebarang amaran berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet di negara ini.

Bagaimanapun, KKM dilaporkan memantau dengan teliti wabak cacar monyet yang telah menjejaskan negara di benua Eropah, Afrika dan Amerika, serta Australia di rantau Oceania.

Dalam pada itu, Baljit turut menggesa KKM menjelaskan mengenai situasi vaksin bagi penyakit cacar monyet tersebut sama ada pihak hospital di negara ini mempunyai bekalan vaksin mencukupi bagi mendepani sebarang kemungkinan penularan wabak tersebut.

Ini kerana katanya, pakar kesihatan telah menasihatkan orang ramai yang melancong ke luar negara supaya mengambil vaksin cacar air yang 85 peratus berkesan melawan cacar monyet.

”Meskipun penyakit cacar monyet ini dilaporkan jarang membawa maut kepada manusia, namun kita tidak seharusnya membuang masa dalam mengambil langkah perlu untuk mengawal dan mengehadkan penularan wabak ini di Malaysia,” katanya.