Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Empat lelaki ditahan cuba seludup 119 etnik Rohingya -

Empat lelaki ditahan cuba seludup 119 etnik Rohingya

CUBAAN empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

“Turut ditahan ialah empat lelaki tempatan berumur 32 hingga 39 tahun yang mana dua daripadanya adalah penjawat awam. Mereka ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, empat lelaki tempatan itu direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama 28 hari.

Wan Hassan berkata, kesemua pendatang asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(1)(b) akta sama selama 14 hari.

“Polis akan menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya melibatkan isu keselamatan dan imej negara. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat perlakuan jenayah boleh menghubungi talian MERS 999 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya. – Bernama