BERANG dengan kata-kata yang dilemparkan oleh segelintir netizen terhadap dia dan suami, pelakon Jasmin Hamid meluahkan rasa bengang kepada golongan tersebut.
Sejak bernikah dengan suaminya, Nazmir Abdul Rahman, 36, pada November tahun lalu, ada yang menyamakan hubungan mereka seperti ibu dan anak.
“Mohon jaga adab dan lisan. Ini suami saya, bukan anak saya. Rezeki dan jodoh saya bersuamikan lelaki muda.
“Semuanya adalah perancangan Allah. Sebagai hambaNya yang beriman kita wajib percaya dengan jodoh, rezeki, ajal dan maut semuanya rahsia Allah. Adakah ada masalah penyakit ain (hati)?” tegasnya.
Sering kali menerima komen negatif yang membangkitkan isu berkenaan, bagi pelakon yang berusia 47 ini ada kalanya kurang faham dengan pandangan skeptikal yang dilemparkan mereka.
Jelasnya, bersuaminya lelaki lebih muda adalah rezekinya dan dia percaya jodoh dan maut merupakan perancangan Allah dan dia menerimanya dengan hati terbuka.
Namun menganggap hubungan mereka seperti ibu dan anak sangat mengguris hati mana-mana wanita sekalipun yang bersuamikan lelaki muda.

“Adakah kami yang ada gelaran ini, tidak berhak untuk hidup bahagia walaupun tiada harta dunia?
“Kenapa hitam sangat hati tu sampai sakit bila tengok orang lain bahagia? Seorang yang beriman dan berakhlak baik pasti akan sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain,” tambahnya lagi.
Pun begitu, sebagai wanita yang sudah masak dengan asam haram kehidupan, dia sentiasa mendoakan agar semua pihak sama-sama beroleh kebahagiaan.
Sebagai info, Jasmin bernikah dengan Nazmir yang juga merupakan pembantu peribadinya yang telah berkhidmat selama lapan tahun bersamanya.
Mereka bernikah pada 19 November 2021 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.