SEORANG graduan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang bernasib baik apabila berjaya menyelesaikan majlis graduasinya pagi ini selepas nekad menumpang sebuah motosikal yang tidak dikenalinya akibat terkandas dalam kesesakan jalan raya teruk di Jambatan Pulau Pinang.
Berkongsi pengalaman mencemaskan itu, R. Kevin, 28, berkata, dia nekad turun dari kereta dan menahan motosikal selepas lebih dua jam terkandas dalam kesesakan ketika dalam perjalanan ke upacara konvokesyennya di USM.
“Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya.
Terdahulu awal hari ini, sekeping gambarnya yang dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas Jambatan Pulau Pinang sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau tular di dalam media sosial.
Dalam pada itu, Kevin berkata, dia bagaimanapun teruja dan bersyukur kerana ada insan yang sudi menumpangkannya sehingga ke USM sehingga berjaya tiba dengan selamatnya untuk meraikan kejayaan bergraduasi dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan.
Tambahnya, dia bersama kedua ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pukul 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.
“Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi pukul 9 pagi, kenderaan masih tidak bergerak.
“Jadi, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.
“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” ujar Kevin yang turut gembira kerana kedua ibu bapanya iaitu Rayappan, 62, dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan yang dialami para graduan yang berijazah pada sidang kelima hari ini dan menangguhkan upacara selama 30 minit.
Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 pagi bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu.
Upacara pada sidang kelima itu dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.