Oleh RAHIMI MOHAMAD
SERAMAI 22 lelaki warga Rohingya ditahan polis kerana menaiki motosikal yang telah diubahsuai dan menunggang secara bahaya di sekitar bandar raya ini, semalam.
Dalam Operasi Khas Motosikal Roda Tiga oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu, ada antara mereka juga tidak memiliki lesen dan kenderaan tiada perlindungan insurans.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, sebanyak 54 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal terbabit ekoran pelbagai kesalahan yang dilakukan.
“Sepanjang operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan sebanyak 22 buah motosikal roda tiga yang telah diubah suai dan ditunggang oleh warga asing berbangsa Rohingya.
“Ketika pemeriksaan, mereka membawa barang-barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rupiah, 22 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan 10 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 90 akta sama kerana tiada perlindungan insurans kenderaan.

Sementara itu, 22 keping saman lagi dikeluarkan mengikut Peraturan 34 LN 170/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubahsuai struktur kenderaan sedia ada.
Katanya, kesemua motosikal roda tiga terbabit yang ditahan itu turut disita di bawah Seksyen 64 akta berkenaan.
“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna dan mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.