Pemilihan PKR 2022: Lapan cabang undi semula akhir bulan Mei, keputusan ditangguh

0
359

PENGUNDIAN fizikal semula Pemilihan PKR 2022 bagi lapan cabang di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini dan keputusan tidak rasmi pemilihan parti hanya akan diketahui selepas proses akhir pengundian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di lapan cabang yang menghadapi beberapa masalah termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Lapan cabang itu akan melibatkan cabang Gua Musang, Pangkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun di Terengganu, Hulu Selangor di Selangor dan Padang Serai di Kedah.

“Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang membincangkan serta menilai semua bantahan tersebut.

“Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang tersebut,” kata Zaliha kepada Bernama.

Oleh itu, beliau berkata, keputusan tidak rasmi pemilihan parti yang dijadualkan untuk dipaparkan di laman sesawang rasmi parti pada 23 Mei terpaksa ditangguhkan dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian di cabang-cabang berkenaan dijalankan.

Sebelum ini, proses pengundian di cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan manakala tujuh cabang yang lain menghadapi masalah teknikal ketika pengundian fizikal.

Zaliha turut memaklumkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

“Sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat hari Ahad, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian pada 18 hingga 20 Mei,” katanya.

Pada Pemilihan PKR 2022 ini, seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut jawatan yang dipertandingkan di peringkat pusat, cabang dan sayap.

Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Ahli Majlis Wanita Keadialan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei.

Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada pemilihan tahun ini akan diumumkan pada 25 Jun sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here