Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
SUPP mampu menang tujuh kerusi tradisi di Sarawak pada PRU-15 -

SUPP mampu menang tujuh kerusi tradisi di Sarawak pada PRU-15

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) yakin kepada Sarawak United People’s Party (SUPP) akan menang kesemua tujuh kerusi tradisi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat itu semua parti komponen perlu bekerjasama sebagai satu pasukan.

Beliau tidak mahu berlakunya situasi tikam belakang atau sabotaj di dalam kepimpinan dan antara penyokong parti di peringkat akar umbi.

Premier Sarawak itu berkata, setiap individu yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan perlu mendapat sokongan penuh rakyat dan mengenepikan kepentingan peribadi demi melaksanakan perkhidmatan yang terbaik.

“SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) adalah satu bentuk kesatuan yang unggul di dalam pentadbiran di Sarawak, kita akan mempertahankan Sarawak dari setiap sudut jangan sesekali ada sabotaj di kalangan parti, ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan rakyat.

“Terutama menjelang musim pilihan raya yang semakin dekat, jangan memperjudikan nasib parti, semarakan semangat perpaduan dan adakan perjumpaan dikalangan ahli, dalam waktu perperangan (pilihan raya) kelak, saya berharap SUPP akan menang di semua kerusi yang mereka tandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Persidangan Perwakilan SUPP ke-25 di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat SUPP di Kuching, hari ini.

Tambahnya, pencapaian yang cemerlang SUPP semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 lalu bukti kejayaan parti tertua di Sarawak itu kembali mendapatkan keyakinan rakyat khasnya komuniti Cina di negeri itu.

“Pilihan raya yang lalu SUPP berjaya sapu rata semua kerusi di Miri iaitu di Senadin, Piasau, dan Pujut, kemudian berjaya menguasai kembali Bintulu terutama di kerusi Tanjung Batu termasuklah beberapa kerusi kuat pembangkang di Sibu.

“Ini buktinya SUPP telah berjaya mengembalikan kepercayaan komuniti Cina di Sarawak, kita telah laksanakan polisi yang inklusif buat mereka dan mengangkat isu pendidikan terutama mewujudkan pelan pembangunan jangka panjang di kawasan Bukit Assek, Sibu agar kita bangunkan semua sekali sebagai sebuah pusat bandar yang baharu,” katanya.

SUPP pada PRN12 mempersembahkan pencapaian yang terbaik sejak tahun 1959 dengan memenangi 13 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan.

Kemenangan parti yang tertua di Sarawak itu sekaligus menutup rekod kekalahan teruk SUPP pada PRN 2016 dengan kekalahan di 13 kerusi daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.