Perang konsert artis popular, petanda industri kreatif makin pulih

0
507

SEJAK peralihan fasa pandemik kepada fasa endemik yang diumumkan oleh kerajaan, satu persatu konsert besar diumumkan saban minggu.

Pastinya beberapa nama besar menjadi tumpuan peminat apatah lagi sudah lama tidak menyaksikan mereka berpadu tenaga di atas pentas besar menghiburkan peminat.

Namun begitu, di sebalik beberapa nama besar seperti Search, Datuk Hattan, Kumpulan UK’s dan gandingan Ziana Zain dan Anuar Zain, penyanyi muda Aina Abdul juga mencuri tumpuan peminat.

Dengan harga tiket yang disifatkan cukup mahal dan mengejutkan, mampukah peminat mengisi kerusi yang berharga ribuan ringgit? Kita sama-sama tunggu.

Ayuh kita sorot sejumlah konsert berskala besar yang bakal diadakan sepanjang tahun ini.

Search berpecah, dua konsert berbeza

Tidak perlu lagi diulas apa sebenarnya yang berlaku kepada kumpulan yang merupakan antara gergasi besar tanah air. Perpecahan yang berlaku kepada Search bukan lagi perkara baharu dan sudah diketahui umum.

Menariknya Search yang diterajui oleh Amy bakal mengadakan konsert besar di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun hadapan.

Search yang diterajui oleh Amy.

Bersama ‘tentera’ Hillary Ang, Man Kidal dan Nasir Daud, mereka sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular kumpulan berkenaan.

Manakala, Search yang dikepalai oleh Din dan Kid pula, menggunakan khidmat Yan, Min dan undangan khas Denden Gonjalez, yang juga merupakan vokalis baharu mereka dari Indonesia.

Search yang dikepalai oleh Din dan Kid

Dengan tema Konsert Search Rockin’ On Rooftop di atas bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, ada sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan mereka.

Bagi peminat setia kumpulan ini, pastinya perpecahan mereka sangat merugikan. Namun kalau benar anda peminat sejati, boleh sahaja layan dua-dua konsert yang diadakan selang seminggu.

Konsert Hattan laku keras

Sebut sahaja lagu Rendang Tak Berbuah, Memburu Rindu dan Mahligai Syahdu, pasti nama Datuk Hattan akan terbayang dalam fikiran.

Imej lelaki botak dengan suara garau tapi berbisa itu sudah ‘menyihir’ sebahagian besar peminat yang ternanti-nantikan konsert berskala besarnya.

Datuk Hattan

Saat dia mengumumkan sahaja mahu mengadakan konsert dua bukan lalu, tiket laku terjual sehingga mereka terpaksa mengumumkan yang persembahan pada 5 Jun sudah habis dibeli.

Yang berbaki hanyalah tiket bagi 4 Jun dan masih boleh dibeli oleh peminat yang mahu menjadi saksi mata Konsert Hattan – 35 Years Journey yang bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvesyen Antarangsa Kuala Lumpur.

UK’s dihargai setelah 25 tahun

Lebih dua dekad menghambakan diri di dalam bidang seni, akhirnya kumpulan Uk’s boleh menarik nafas lega apabila diberikan penghargaan untuk melakukan konsert di Istana Budaya.

Memilih tarikh 17 Jun hadapan untuk mengotakan janji menghiburkan peminat setia, Amir sekali vokalis ternyata teruja dengan peluang yang diberikan kepada mereka.

UK’s

“Saya kecewa kerana selama 25 tahun, kami tidak diberi peluang mengadakan konsert berbanding kumpulan lain. Situasi itu pernah membuatkan saya seperti mahu mengundurkan diri.

“Untuk meneruskan kehidupan, saya terpaksa menyanyi solo dengan menggunakan muzik minus one. Tawaran persembahan masih ada, cuma impian nak buat konsert U.K’s sahaja belum tercapai,” dedahnya dalam satu sidang media sebelum ini.

Pun begitu, kesedihan selama ini nampaknya berbalas apabila Uk’s bakal menghiburkan peminat dengan 25 rangkaian lagu-lagu malar segar mereka yang masih diminati.

Gandingan adik-beradik

Setelah sekian lama menanti akhirnya peminat kepada Ziana Zain dan Anuar Zain boleh tersenyum lebar apabila kedua-dua mereka akan beraksi dalam satu pentas tidak lama lagi.

“Sebenarnya kami memang sudah merancang lama untuk mengadakan persembahan berskala besar begini. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan Tuhan juga yang menentukan.

Anuar Zain dan Ziana Zain

“Aturan Allah juga yang akhirnya menyatukan kami kali ini. Saya harap peminat akan hadir memberikan sokongan memandangkan mereka juga meruoaka tulang belakang kami selama ini,” kata Anuar.

Bagi ibu kepada empat orang cahaya mata itu pula menganggap ini merupakan sejarah baharu buat kerjaya seni mereka di Malaysia.

Pernah bergandingan bersama dalam satu konsert besar di Singapura sebelum ini, untuk pasaran tempatan ini merupakan gandingan perdana mereka sepanjang aktif dalam bidang seni.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd ini akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 6 Ogos depan.

Peminat kecam tiket Aina mahal

Sebaik sahaja mengumumkan bakal mengadakan Konsert A Night With Aina Abdul 2.0, tumpuan peminat nampaknya lebih terarah kepada harga tiket yang dikatakan agak mahal, tidak berbaloi dan mengatasi harga penganyi senior yang lain.

Aina Abdul

Namun, Aina Abdul optimis yang harga mahal bukanlah satu masalah besar memandangkan apa yang akan dipersembahkan nanti berbaloi sepanjang dua hari pengaburan pada 25 dan 26 Jun hadapan di Istana Budaya.

Harga termahal untuk menyaksikan persembahan penyanyi ini adalah sebanyak RM1199, satu angka yang dikira cukup tinggi untuk orang baharu sepertinya.

Optimis dengan apa yang sedang dibuat, Aina yakin peminat akan berpuas hati apabila hadir sendiri menyaksikan persembahan tersebut memandangkan dia sudah mempersiakan pelbagai kejutan untuk mereka.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here