KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang berusaha untuk memperkukuhkan pendidikan digital di sekolah bagi mendapatkan impak yang optimum.
Justeru kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, seluruh ekosistem pendidikan negara perlu bersama-sama bergerak ke arah perubahan bagi meningkatkan kualiti pendidikan untuk masa depan generasi hari ini.
“Saya telah mengadakan lawatan ke Bexleyheath Academy, United Kingdom untuk meninjau pengoperasian sekolah yang merupakan salah satu daripada 57 buah sekolah di bawah Academies Enterprise Trust (AET).
“Dalam lawatan itu, Pengetua Bexleyheath Academy telah berkongsi bagaimana transformasi sekolah ke arah pendidikan digital dilaksanakan.
“Kami juga sempat berjumpa dengan pelajar yang berkongsi pengalaman dan cabaran mereka dalam fasa perubahan mengikuti pendidikan secara digital,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.
Jelas Mohd Radzi, secara keseluruhan, kejayaan transformasi pendidikan sekolah tersebut melibatkan komitmen yang tinggi daripada seluruh warga sekolah.
Justeru, beliau melihat pentadbir dan guru memainkan peranan penting dalam penyediaan kurikulum serta menerajui penggunaan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran.
“Begitu juga dengan penglibatan AET membantu pihak sekolah dalam pelbagai aspek, termasuk pengukuhan tenaga pengajar,” ujar beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.