Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Along guna cap, logo LHDN perdaya mangsa -

Along guna cap, logo LHDN perdaya mangsa

SATU sindiket yang aktif menawarkan pinjaman kepada orang ramai sejak beberapa bulan lalu dikesan menggunakan resit dengan cap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengaburi dan memperdaya mangsa.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar selepas beberapa mangsa membuat aduan kepada Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) selepas menyedari tertipu dengan skim kononnya disahkan kerajaan itu.

Aktif mengiklankan pinjaman berkenaan di Facebook, sindiket dipercayai didalangi along itu akan meminta peminjam membayar wang proses, duti setem dan pelbagai bayaran perkhidmatan lain sebelum permohonan diluluskan.

Harian Metro melaporkan, terbaru, seorang lelaki berusia 48 tahun kerugian RM380 selepas diperdaya ‘ejen kerajaan’ ketika ingin membuat pinjaman baru-baru ini.

Mahu dikenali sebagai Ramlan, dia berurusan dengan seorang lelaki untuk memohon pinjaman selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.

Katanya, dalam perbualan melalui WhatsApp, dia diyakinkan bahawa semua pembayaran akan diberikan resit LHDN sebagai bukti ia skim pinjaman yang disahkan.

“Ejen itu meminta saya memasukkan RM380 sebagai bayaran proses. Dia berulang kali meyakinkan saya ia adalah pinjaman boleh dipercayai serta diluluskan pihak berkuasa.

“Tidak lama kemudian, saya menerima salinan resit dengan logo dan cop LHDN,” katanya yang membuat aduan kepada Ketua Jabatan Aduan Amal Sejagat, Syed Kamarul Al Masyhur.

Ramlan berkata, selepas itu dia dihubungi ejen berkenaan dan kali ini meminta dia membayar yuran guaman dan menyerahkan kad bank miliknya bagi tujuan transaksi.

Katanya, dia yang terdesak memerlukan wang, menyerahkan dua kad ATM kepada ejen berkenaan.

“Selepas itu, saya dihubungi lagi. Kali ini dia minta wang untuk duti setem pula. Saya mula rasa tak kena dan buat aduan kepada Amal Sejagat kerana bimbang jadi mangsa sindiket haram,” katanya.

Sementara itu, Syed Kamarul berkata, pihaknya menerima lima aduan serupa dalam tempoh dua bulan lalu.

Katanya, Amal Sejagat sudah merujuk kes berkenaan kepada LHDN untuk tindakan susulan kerana ia membabitkan imej agensi itu.

Menurutnya, ini adalah taktik terbaru along menjerat mangsa terutama ketika negara baru saja memasuki fasa peralihan endemik ketika ini.

“Kita bimbang ramai lagi yang akan menjadi mangsa kerana yakin ia pinjaman yang diluluskan.

“Dalam kes Ramlan, kita juga bimbang kad bank yang diserahkan itu akan digunakan untuk aktiviti keldai akaun. Jadi kita sudah nasihatkan dia supaya batalkan kad bank berkenaan,” katanya.