KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan empat lelaki termasuk dua warga asing menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Jenjarom, Kuala Langat pada 17 Mei lalu.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, tertuduh yang berusia 25 hingga 40 tahun itu ditahan selepas pihaknya menemukan dua buah lori yang menjalankan kegiatan pemunggahan minyak diesel ke dalam sebuah tangki di kawasan ladang kelapa sawit.
“Dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis dan dua lelaki warga tempatan yang memandu lori itu turut ditahan untuk siasatan.
“Jumlah minyak diesel yang disita adalah sebanyak 8,355 liter selain beberapa peralatan dan dokumen. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM198,330,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang semalam bagi pertuduhan ke atas kesemua tertuduh.
“Dua lelaki tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.
“Sementara dua warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Azman memberitahu, pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang bersubsidi minyak diesel tanpa lesen.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan
“KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.