Sektor pelancongan tidak terjejas walau nilai ringgit jatuh-Nancy Sukhri

0
224

SEKTOR pelancongan negara tidak terjejas sebaliknya tempahan bilik-bilik hotel terus meningkat walaupun berlaku kejatuhan nilai Ringgit.

Malah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Sukhri berkata, perkembangan ini disebabkan ia tidak mempengaruhi mobiliti pelancong untuk bercuti di lokasi-lokasi menarik di dalam negara.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan bilik hotel di seluruh negara sentiasa menerima peningkatan tempahan malah ada yang sudah penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Setakat ini katanya, dari segi mobiliti pelancong belum menunjukkan kesan ia menghalang untuk bergerak.

“Kita akui kejatuhan nilai ringgit memberi impak terhadap kenaikan harga barang, namun setakat ini ia tidak memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan,” katanya pada sidang media acara Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Kampung Seberang Takir Kuala Nerus, hari ini, lapor Sinar Harian.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.

Menurut Nancy, kelonggaran yang diberikan dalam fasa endemik menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa bercuti di seluruh negara.

Beliau berkata, sebab itu MOTAC juga memberi subsidi antaranya diskaun baucar hotel, penerbangan, pengangkutan darat, spa dan semua berkaitan pelancongan bagi mengurangkan beban dan menggalakkan terutama pelancong domestik untuk bergerak ke seluruh negara.

Sementara itu, Nancy menyarankan agar orang ramai bijak memilih pakej pelancongan yang ditawarkan agar tidak mudah ditipu oleh penggiat pelancongan yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Penggiat pelancongan diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan daripada pelancong kerana kita sama-sama mempunyai satu misi iaitu mahu melihat ekonomi Malaysia lebih maju. Jadi sama-sama kita membantu antara satu sama lain.

“Agak sukar untuk kita mengawal sekiranya ada yang mengambil kesempatan, namun kita minta kebijaksanaan pelancong sendiri untuk menilai dan mereka boleh membuat perbandingan secara dalam talian (online) untuk memilih harga yang terbaik,” katanya.

Menurut beliau, sasaran awal MOTAC mengenai kedatangan pelancong asing ialah sebanyak dua juta pada tahun ini dijangka boleh dicapai dengan mudah.

Jelas beliau, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kaurantin wajib menjadi pemangkin dan daya menarik lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here