Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pembubaran permit import (AP) bekalan makanan perlu diteliti dan diperinci.
Meskipun beliau percaya tindakan yang diambil oleh kerajaan itu sebagai satu langkah untuk mengawal harga makanan, dasar pemansuhan itu perlu dikaji semula supaya ia tidak menjejaskan sektor pertanian dan makanan negara.
“Pada dasarnya, itu pendekatan yang baik, cuma ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Dalam keadaan kita buka, kita jangan lupa kita nak bagi juga sokongan kepada usaha membangunkan sektor pertanian dalam negara kita,” kata beliau selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pagoh, Rabu lalu.
Kata beliau, walaupun kebanyakkan produk makanan diimport, persoalan mengenai keupayaan industri tempatan untuk mengembang dan bersaing juga perlu diambil kira.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menjelaskan kerajaan juga perlu menilai semula barangan sekiranya kesemua bekalan makanan dibenarkan untuk diimport tanpa AP.
Ini kerana beberapa produk, seperti beras masih bergantung kepada pengeluaran tempatan yang masih mempunyai keupayaan dalam memenuhi keperluan negara.
“Beras, sebahagian besarnya dikeluarkan oleh negara, 70 peratus. 30 peratus diimport. Apakah beras juga boleh dibebaskan untuk tidak ada sekatan?”
Hal ini kerana beliau percaya, ketiadaan duti import kepada produk itu akan menjejaskan pendapatan petani tempatan, terutama yang berada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Oleh itu, bekas Perdana Menteri itu meminta agar kerajaan memperhalusi keputusan yang diambil itu supaya tidak membebankan sumber pendapatan pemain industri pertanian tempatan.
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan telah memansuhkan permit import bagi mengelakkan peningkatan harga makanan yang mendadak.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.