Lelaki gagal larikan wang lepas dua jam tak dapat pecahkan mesin ATM

0
427

SEORANG lelaki gagal melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menggunakan mesin pencanai (grinding machine) dalam satu kejadian di sebuah bank, di Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt. Wan Zulfikri Wan Othman berkata kejadian itu dilaporkan pihak bank terbabit pada 7.16 pagi selepas menyedari salah sebuah ATM di premis itu rosak serta terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

Beliau berkata semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis itu menunjukkan seorang lelaki dilihat berjalan kaki dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang menempatkan mesin ATM pada pukul 1.59 pagi.

“Suspek turut bertindak menutup CCTV dengan menggunakan pita pelekat selain kertas minyak pada pintu utama ruang berkenaan bagi mengelak perbuatannya dilihat.

“Suspek didapati berusaha hampir dua jam untuk cuba melarikan wang tunai di mesin ATM terbabit sebelum keluar semula pada 3.15 pagi dengan menggalas beg,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Wan Zulfikri berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here