Sindiket isi semula syabu dalam krayon sebelum dihantar ke luar negara tumpas

0
292

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

ISI semula serbuk syabu dalam pensel pewarna krayon untuk dihantar ke luar negara.

Bagaimanapun, taktik yang digunakan satu sindiket penyeludupan dadah di Pulau Pinang untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu gagal selepas berjaya ditumpaskan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong, sindiket yang mula aktif pertengahan tahun lalu itu terbongkar ekoran penahanan seorang suspek lelaki di tepi jalan di pusat bandar Georgetown, Khamis lalu.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 25 tahun dan penganggur itu bertindak memotong bahagian bawah krayon tersebut untuk diisi dengan sebanyak tujuh gram syabu bagi setiap batang krayon.

Difahamkan, terdapat tiga parcel yang dihantar ke luar negara berisi krayon yang dimasukkan dengan syabu bernilai RM30,000 setiap satu kini ditahan selepas berjaya dikesan pihak berkuasa negara berkenaan.

”Krayon berisi syabu itu dihantar kepada penerima di luar negara dalam bentuk parcel yang mana satu kotak mengandungi 48 batang krayon,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

Menurut Soffian, ekoran penahanan suspek, polis turut menyerbu sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang dan merampas dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM36,666.

Dalam serbuan sama ujarnya, sebanyak 77 gram dadah jenis ketamin bernilai RM11,550 turut dirampas bersama-sama peralatan membungkus semula dadah dan sebuah kereta.

”Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu sekirany terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh lebih 5,000 penagih manakala nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan adalah RM82,636,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah dan kini ditahan reman selama enam hari bermula 12 Mei lalu untuk siasatan lanjut.

“Kita juga percaya terdapat beberapa lagi ahli sindiket ini selain daripada suspek yang ditahan polis dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here