Polis tahan warga Thailand, rampas pil yaba bernilai RM480,000

0
232

POLIS menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 48,000 biji pil Yaba bernilai sekitar RM480,000 berdekatan sebuah pasar raya di Kuala Krai, Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata semasa ditahan pada kira-kira pukul 5.30 petang lelaki berumur 28 tahun itu turut membawa anak perempuannya yang baru berumur lima tahun, dipercayai sebagai taktik bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan menahan lelaki itu selepas dia dilihat mencurigakan di tepi sebuah Toyota Avanza, dan pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penemuan lapan bungkusan kertas kekuningan setiap satu bertulis Y1 dan OK di tempat alas kaki penumpang hadapan dalam kenderaan itu.

“Dalam bungkusan itu terdapat pula tiga bungkusan plastik cerah mengandungi satu paket plastik biru yang mempunyai pil kemerahan dan kehijauan disyaki dadah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Katanya suspek yang menetap di Perupok, Bachok dipercayai cuba menghantar bekalan dadah yang diperolehnya dari pembekal di Mundok, Thailand, itu kepada pihak tertentu di Kuala Krai, dan suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Sementara itu dalam kes berasingan Muhamad Zaki berkata polis menahan seorang guru lelaki berusia 30-an dari sebuah sekolah Agama kerana dipercayai meliwat pelajar lelaki berusia 13 tahun baru-baru ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak. Permohonan reman ke atas guru berkenaan akan dibuat hari ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here