Najib tak pernah dedah terima wang 1MDB

0
51

BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Azmi Tahir memberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mendedahkan kepada mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bahawa beliau menerima wang milik syarikat pelaburan itu.

Saksi pendakwaan ke-12 itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau tidak mengetahui bahawa Najib memperoleh wang tersebut melalui akaun peribadi AmIslamic milik Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia, merujuk kepada carta aliran transaksi penyelewengan dana 1MDB, Azmi bersetuju wang berjumlah AS$681 juta telah masuk ke akaun Najib.

Carta tersebut menunjukkan 1MDB Global Investments Ltd. melalui BSI Bank di Lugano memindahkan dana sebanyak AS$2.721 bilion dan daripada jumlah tersebut, Devonshire Funds Ltd. menerima AS$646,464,649 melalui lima transaksi iaitu pada 20 dan 21 Mac, 2013.

Pada hari kedua, Devonshire memindahkan AS$430 juta kepada Granton Property Holding Ltd., sebuah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada hari sama juga, Devonshire memindahkan sejumlah AS$210 juta kepada Tanore Finance Corporation, di mana Tanore memindahkan memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun Najib antara 31 Mac dan 10 April 2013.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes Najib, 68, didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ketika pemeriksaan semula, Azmi sekali lagi memaklumkan bahawa Najib tidak pernah mempersoalkan atau menegur tindakannya menjalankan setiap arahan Jho Low yang dipercayai datang daripada Najib sendiri.

Saksi itu juga menyatakan, beliau tidak pernah menerima sebarang imbuhan daripada transaksi penyelewengan itu.

Terdahulu, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau tidak mengetahui sama ada Najib membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya.

Pada perbicaraan sebelum ini, Mohd. Bakke memberitahu telah menghantar SMS kepada Najib memaklumkan mengenai salah laku kewangan yang berlaku dalam 1MDB namun tidak mendapat sebarang balasan daripada bekas Perdana Menteri itu.

Ekoran tidak menerima sebarang balasan, Mohd. Bakke beranggapan bahawa Najib turut terlibat dalam salah laku tersebut.

Menceritakan lebih lanjut mengenai SMS yang dihantar, kandungan SMS itu adalah berhubung dua pembayaran masing-masing berjumlah AS$700 juta dan AS$300 juta bagi syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi Ltd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Suquerah bersambung esok. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here