Malaysia bersedia hadapi krisis bekalan makanan

0
507

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

KRISIS berkaitan bekalan makanan tidak hanya dialami di negara ini, sebaliknya turut dirasai negara lain di seluruh dunia.

Lebih memburukkan keadaan ujar Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, kekurangan bekalan itu turut didorong faktor seperti peningkatan kos pengangkutan dan sebagainya.

Bagaimanapun ujar beliau, Kerajaan Pusat khususnya MAFI telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan ekoran kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang itu daripada membebankan rakyat.

Beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan menetapkan harga siling bagi bekalan ayam iaitu RM8.90 sekilogram meskipun terpaksa mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran yang ditanggung oleh pihak industri.

“Pendekatan-pendekatan yang diambil Kerajaan Pusat inilah yang membezakan kita dengan negara-negara lain dalam berdepan dengan krisis bekalan makanan ini supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu ditanya sama ada Malaysia bakal terkesan dengan keputusan kerajaan India menghentikan eksport gandum, Ronald berkata, beliau percaya para pengimport di negara ini akan mencari alternatif atau mendapatkan sumber gandum dari negara lain.

“Bagaimanapun, masalah tersebut sedang diuruskan oleh pihak yang berkenaan walaupun kita terpaksa berdepan pelbagai kos berkaitan yang meningkat ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu jelas beliau, MAFI juga telah bersedia dengan langkah serta penambahbaikan dalam mengurangkan impak cuaca tidak menentu seperti banjir dan kemarau yang dialami oleh pesawah di negara ini.

Tambahnya, usaha itu bagi mengelakkan daripada berlakunya krisis makanan pada masa hadapan.

“Kita juga mempunyai peruntukan khas yang boleh diguna pakai untuk menampung kerugian yang dialami oleh pesawah-pesawah yang berdepan dengan masalah cuaca tidak menentu ini.

“Selain itu, kita juga sudah mengambil langkah seperti mengenal pasti varieti-varieti (tanaman padi baharu) yang tahan terhadap perubahan cuaca dalam mendepani isu ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here