Lapan PATI Indonesia dicekup selepas pulang beraya

0
271

LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk untuk kembali bekerja di Sabah selepas pulang bercuti hari raya di negara asal gagal apabila diberkas pasukan keselamatan, semalam.

Semua PATI itu yang menaiki sebuah bot laju di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air di Kampung Titingan, Tawau pukul 4.15 petang.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, PATI berkenaan kemudian dilihat menaiki sebuah teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar.

“Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) mengekori teksi terbabit sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua Pati terbabit.

“Kesemua Pati terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

Abdul Karim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki pasport dan permit kerja yang sah, namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.

Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia itu memaklumkan tujuan masuk ke Sabah kerana mahu kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga sempena hari raya.

“Kesemua Pati terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here