Rakyat kena berani reformasi negara:Shafie Apdal

0
371

PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat negara ini perlu berani reform kepimpinan Malaysia sekali gus mewujudkan pembaharuan dalam struktur politik negara.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kini negara ini memerlukan satu landasan pembaharuan untuk semua bangsa bergerak seiring ke hadapan kerana Malaysia dimiliki pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Dengan parti berbilang bangsa, kita perlu kongsikan kekayaan negara, Sabah kaya dengan sumber minyak tetapi kemudahan asas seperti jalan raya, air, telekomunikasi dan sebagainya masih mundur.

“Jangan hanya wujudkan slogan untuk didendangkan tetapi rakyatnya menderita setiap hari.

“Rakyat kini berhadapan dengan harga barangan yang mahal, jangan sampai harga makanan seperti daging ayam dikawal oleh orang tengah sehingga menyebabkan harga melambung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri WARISAN Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, lapor Utusan Borneo, hari ini.

Mohd. Shafie berkata, hanya rakyat sahaja boleh menukar seseorang pemimpin.

Katanya, dalam keadaan menikmati keselesaan daripada segi makanan serta kehidupan, semua perlu ingat bahawa ramai dalam kalangan rakyat khususnya Sabah menderita akibat harga barangan mahal, pengangguran, bencana banjir dan sebagainya.

“Banjir di Tenom, Beaufort, putus jalan akibat hujan…waktu Warisan perintah dulu putus laluan di Jalan Ranau saya luluskan peruntukan RM30 juta untuk perbaiki jalan itu dan ianya siap dalam tempoh dua bulan.

“Barisan Nasional (BN) sudah memerintah selama 70 tahun tetapi sehingga kini masih jalan berlumpur, berlobang.

“Buat slogan kata tetapi keadaan tetap sama saja, jambatan rosak bukan tidak boleh dibuat dalam masa terdekat, peruntukan bukannya sangat mahal,” katanya.

Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, jangan hanya hidangkan slogan kepada rakyat tetapi kebaikannya tidak dinikmati masyarakat secara keseluruhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here