Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang direman 4 hari kes rasuah RM3,000

0
619

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran bagi mereman seorang pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut, Pulau Pinang selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai RM3,000.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 17 Mei itu dikeluarkan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin selepas Pegawai Pendakwa SPRM, G. Jayaraj membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan ketika menerima wang berkenaan daripada seorang pengadu di sekitar Bayan Baru, Georgetown petang semalam.

Katanya, wang itu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes yang masih di dalam siasatan dan supaya tindakan tidak diambil ke atas pengadu atas kesalahan memiliki gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Difahamkan kesalahan itu dilakukan sejak tahun lalu dan pengadu berkenaan membuat laporan kepada SPRM awal bulan ini.

Suspek yang tidak diwakili peguam itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here