Pengundian pemilihan PKR 2022 buka tirai hari ini

0
46

PEMILIHAN PKR 2022 membuka tirainya hari ini yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata proses pengundian secara fizikal bermula secara rasmi di Kelantan dan Terenggganu hari ini manakala di Kedah dan Johor pada esok.

“Ahli parti di Pahang dan Wilayah Persekutuan akan mengundi secara fizikal pada Ahad ini diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei.

“Perak, Sabah dan Sarawak pula akan mengadakan pengundian fizikal pada 22 Mei,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut memaklumkan pengundian secara dalam talian bagi ahli parti luar negara akan diadakan pada 17 Mei dan pengundian secara dalam talian bagi ahli parti selebihnya akan diadakan dari 18 hingga 20 Mei ini melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Feb lepas.

Tumpuan pemilihan PKR yang diadakan secara hibrid buat julung kali ini terarah kepada jawatan nombor dua parti itu apabila Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas naib presiden dilantik Rafizi Ramli berebut bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.

Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, bekas Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr G.Gunaraj juga akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here