Lima rentung: Pemandu treler miliki 9 rekod kesalahan JPJ

0
343

PEMANDU treler membawa muatan besi yang ditahan berhubung kemalangan melibatkan lima mangsa rentung di Lebuhraya Utara Selatan Rabu lepas, mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ibu Pejabat JPJ dalam kenyataan hari ini berkata hasil semakan dalam sistem mySIKAP JPJ mendapati rekod kesalahan itu, dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Menurut kenyataan itu, siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, permit dan lesen pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan terhadap pemandu terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah, menurut kenyataan itu.

“JPJ memandang serius insiden yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Polis menahan reman pemandu treler berusia 28 tahun terbabit selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara itu.

Dalam kejadian melibatkan dua buah treler itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang juga rakan serumah, rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar.

Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dinaiki kelima-lima pelajar itu sedang mengekori di belakang treler muatan mozek yang memandu di lorong kanan susulan lorong kiri ditutup bagi penyelenggaraan jalan, apabila sebuah lagi treler muatan besi merempuh bahagian belakang kereta mereka.

Treler itu kemudian menyeret kenderaan itu ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan, menyebabkan kelima-lima mangsa tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here