Identiti 3 jenazah pelajar USAS sudah dikenal pasti melalui rekod pergigian

0
369

IDENTITI tiga lagi jenazah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini tengah malam Rabu, telah dikenal pasti menerusi rekod pergigian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata identiti ketiga-tiga mayat telah disahkan berdasarkan perbandingan dengan rekod pergigian dari klinik dan institut pergigian lain ketika proses pengecaman di Hospital Taiping.

“Mayat dijangka diserahkan kepada waris selepas selesai proses pengecaman sebentar lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rekod pergigian itu digunakan pihak forensik di Hospital Taiping, berikutan keadaan mayat yang sukar dikenal pasti bagi proses pengecaman.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta ketika kejadian dan beralamat di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, penumpang tengah belakang yang beralamat di Bandar Baru Selayang, Selangor.

Seorang lagi ialah Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang kanan dan beralamat di Senai, Johor.

Pagi tadi, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Taiping bagi proses bedah siasat yang selanjutnya hari ini dan kesemua jenazah akan disembahyangkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun di USAS di sini, sebelum dibawa pulang ke kampung masing-masing bagi urusan pengkebumian.

Malam tadi, dua daripada lima pelajar USAS itu  telah dikenal pasti oleh ahli keluarga menerusi proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar.

Dua jenazah yang dapat dicamkan pada hari kejadian itu ialah Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, yang beralamat di Parit Buntar, Perak dan dipercayai duduk di bahagian penumpang belakang, serta Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu yang duduk di tempat penumpang hadapan dan telah selamat dikebumikan di kampung masing-masing. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here