Guru taska ditahan dera kanak-kanak

0
332

Oleh RAHIMI MOHAMAD

POLIS menahan seorang guru taska bagi membantu siasatan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera.

Suspek wanita berusia 24 tahun itu ditahan polis di tepi jalan di Jalan Putih, Skudai, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan dera terhadap mangsa, kelmarin.

Katanya, polis menerima laporan daripada ibu mangsa semalam bahawa anak perempuannya didera di taska asuhan yang beralamat di Tampoi.

“Mangsa berusia empat tahun itu merupakan seorang kanak-kanak yang hiper aktif dan mempunyai masalah lambat bertutur.

“Taska berkenaan pula merupakan pusat jagaan bagi kanak-kanak normal dan juga kanak-kanak khas.

“Berdasarkan video yang tular, suspek dipercayai telah menarik telinga mangsa dan juga menekap muka mangsa menggunakan bantal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Rupiah, pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati mangsa mengalami kesan lebam di bahagian telinga kanan dipercayai akibat didera.

Beliau berkata, polis telah menjalankan operasi bagi mencari suspek sebelum berjaya menahan wanita itu kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Suspek kini dikenakan tahanan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rupiah turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi polis ditalian 07-5563122 bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here