PIHAK Polis kini menyiasat Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos kerana memiliki “dokumen bocor” yang diklasifikasikan di di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Memetik laporan FMT, Teresa Kok membuat laporan polis pada 7 Mei lalu selepas Jamal mengemukakan dokumen “rahsia” itu kepada peguamnya berkaitan kes sivil yang masih berlangsung, melibatkan saman fitnah ahli Parlimen Seputeh berkenaan terhadap pemimpin Umno itu pada 2017.
“Dokumen bocor” itu termasuk minit mesyuarat berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2016, laporan buku tunai, penyata penyesuaian bank di satu pejabat daerah, dan mesyuarat mengenai penyelarasan sistem SMUE.
Dalam satu sidang media di luar Balai Polis Sentul hari ini, Kok mendakwa polis mengklasifikasikan laporan itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA) pada hari sama beliau membuat laporan polis.
Bagaimanapun, Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai menjelaskan NFA itu adalah “sementara” dan prosedur biasa.
“Polis perlu mengklasifikasikan kes dalam tempoh 24 jam dalam sistem. Kami akan mengklasifikasikannya semula selepas merakam percakapan saksi,” katanya.
Beliau menambah, laporan Kok telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 8 OSA 1972.
Kok yang juga bekas menteri industri utama, memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 2017 mendakwa pemimpin Umno itu memfitnahnya dengan menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.