KEBANYAKAN kawasan di seluruh negara dijangka mengalami taburan hujan yang rendah mulai 14 Mei hingga pertengahan September, selaras dengan permulaan Monsun Barat Daya.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena jerebu juga boleh berlaku dalam tempoh monsun ini jika pembakaran terbuka tidak dikawal, khususnya dalam tempoh dari Ogos hingga Oktober.
“Semasa Monsun Barat Daya, angin pada kebiasaannya akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembaan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini akan mengakibatkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan itu, kebanyakan kawasan di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih berbanding musim lain, serta taburan hujang yang lebih rendah,” kata MetMalaysia, hari ini.
Bagaimanapun, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat serta angin kencang masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan Barat Sabah pada awal pagi berikutan fenomena garis badai.
“Garis badai merupakan garisan ribut petir yang terbentuk disebabkan penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” jelas jabatan itu.
Oleh itu, MetMalaysia menyarankan agar pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemeran alam sekitar.
Orang ramai turut dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.