SEBANYAK 49 buah kampung di daerah Beaufort dan Tenom di Sabah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga tengah malam tadi.
Bernama melaporkan sebanyak 36 buah kampung di Beaufort dan 13 kampung lagi di Tenom telah terjejas akibat banjir ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
“Hujan lebat yang turun dianggarkan pada jam 1.30 petang itu telah mengakibatkan peningkatan paras air di Sungai Padas dan Sungai Pegalan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Namun, setakat ini, tiada pusat pemindahan mangsa banjir telah dibuka di daerah Beaufort manakala empat buah pusat pemindahan telah dibuka di Tenom, iaitu di kawasan Kampung Mandalalom, Kampung Ponontomon, Kampung Kanar dan Dewan Jinuin Jimin sebagai langkah berjaga-jaga.
Banjir ini turut mengakibatkan beberapa jalan ditenggelami air, termasuk Jalan Simpang 4 Chan Furniture yang telah ditutup kepada semua jenis kenderaan.
Sementara itu, Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata, Jalan Kampung Laboi dan Jalan Kampung Suasa dibuka hanya kepada kenderaan berat.
Dalam kenyataan lain, Jabatan Kerja Raya Sabah turut melaporkan terdapat kejadian tanah runtuh di KM36.2 Jalan Tenom Kuala Tomani, Tenom.
“Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif, iaitu Jalan Kuala Tomani Marais, Jalan Kalibatang Baru dan Jalan Marais.
Sebagai langkah keselamatan, penutupan jalan dan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dijalankan,” katanya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.