Sukan SEA: Tze Liang hadirkan emas ketiga negara

0
354


SKUAD terjun kebangsaan meneruskan momentumĀ cemerlang di Sukan SEA ke-31 apabila atlet negara Ooi Tze Liang membutirkan pingat emas ketiga Malaysia selepas mengungguli saingan final acara 1 meter (m) papan anjal lelaki di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.

Tze Liang menampilkan persembahan terpuji dengan mengumpul 377.70 mata dalam keseluruhan enam terjunan untuk menewaskan enam penerjun lain.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Singapura Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata sementara seorang lagi wakil negara Betrand Rhodict Anak Lises berjaya membawa pulang pingat sulungnya di pentas Sukan SEA selepas meraih gangsa apabila mengutip 284.90 mata.

Terdahulu, berdasarkan keputusan tidak rasmi Betrand Rhodict menduduki tempat keempat di belakang penerjun Thailand Chawanwat Juntaphadawon.

Sementara itu, ini merupakan emas kedua peribadi Tze Liang dan ke-12 sepanjang beraksi di pentas temasya sukan dwitahunan itu selepas turut menjuarai acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei, semalam.

— BERNAMA

Monday , 09 May 2022

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here