Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita dibelasah sampai mati kerana dedah hubungan sulit suami -

Wanita dibelasah sampai mati kerana dedah hubungan sulit suami

SEORANG wanita berusia 28 tahun dibelasah sampai mati sehari sebelum Aidilfitri selepas dia mendedahkan suaminya mempunyai hubungan sulit, di kediaman mereka di Batu 9, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian di sebuah pangsapuri kira-kira jam 9.16 pagi itu, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang yang memaklumkan seorang wanita berusia 28 tahun dibawa suaminya ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Menurut beliau, pemeriksaan luaran mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan yang juga pengadu mendapati kematian wanita tersebut mencurigakan.

 “Hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira dua jam kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan abdomen yang disebabkan senjata tumpul.

“Kita percaya mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

Lanjutan itu Mohd Zaid memberitahu, polis menahan suami mangsa yang berusia 38 tahun pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati suspek berang dengan tindakan mangsa yang memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengatakan lelaki itu mempunyai hubungan sulit,” tambahnya.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika disabit dengan kesalahan suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

Mohd Zaid menambah, mekanik itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, Isnin ini.