Shuib ‘rabak’ bila anak tanya raya ni nak buat apa

0
633

BERBEZA. Itu ungkapan yang diluahkan oleh pelawak Shuib apabila bercerita mengenai sambutan lebaran kali ini. Pertama kali melalui Hari Raya Aidilfitri tanpa kehadiran isteri tercinta, segala-galanya begitu asing buat dirinya.

Bagi Shuib, meskipun ketiadaan Allahyarham Siti Sarah sudah dirasai sahaja Ramadan lagi, namun kehadiran Syawal membuatkan dia begitu terasa.

“Memang betul, tak mudah nak melalui semua ini. Bila tiba Syawal, hati saya memang sayu mengenangkan isteri yang telah tiada.

“Buat masa sekarang, fokus hanya diberikan kepada anak-anak sahaja. Apa-apa jadi masa takkan berhenti berjalan dan saya perlu teruskan kehidupan.

“Apa yang pasti memang berat untuk melalui fasa ini, tak terluah dengan kata-kata. Mujur ada anak-anak dan keluarga dan merekalah tempat saya curahkan tumpuan,” katanya sayu.

Tambah Shuib lagi, dia menjadikan sambutan Syawal sebagai masa untuk meraikan anak-anak yang sudah berpuasa penuh.

Meskipun mereka sudah memahami apa yang berlaku, dia tidak mahu mereka meraikan lebaran dalam suasana sedih dan mahu semunya gembira seperti kanak-kanak yang lain.

Namun, jauh di sudut hatinya sangat rindukan air tangan Sarah yang sentiasa ringan tangan menyediakan juadah untuk mereka sekeluarga.

“Saya memang gambarkan pajeri nanas dan kerutup masakan Sarah. Memang selalu saya akan minta dia sediakan tapi sekarang semunya tinggal kenangan.

“Baru-baru ini ibu mertua ada menyediakan pajeri nanas tapi saya tak lalu nak makan. Masih teringatkan arwah dan akhirnya saya paksa juga diri,” tambahnya.

Dalam pada itu, Shuib gembira apabila anak-anak semakin kuat dan sudah boleh menerima ketentuan takdir dan tidak lagi mengalirkan air mata saat bercerita tentang wanita yang satu itu.

Dia kagum kerana kesemua anak-anak sudah menerima perkara tersebut dan tidak lagi bersedih seperti satu fasa yang sudah dihadapi satu ketika dahulu.

“Mereka pernah sebut ‘raya ni nak buat apa daddy? Ibu dah tak ada’. Yang sedih saya tapi mereka okay sahaja,” kata Shuib lagi.

Sebagai info, pasangan Shub dan Sarah dikurniakan Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang baru berusia 9 bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here