Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo -

Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo

SYARIKAT Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) menyerbu sebuah premis yang melakukan penyambungan air secara haram untuk kegunaan pembinaan banglo dalam satu operasi di Port Dickson, pukul 2.30 petang kelmarin.

Serbuan dilakukan pegawai Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, siasatan di tapak mendapati penghuni melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter.

“Penyambungan itu untuk kegunaan ubahsuai premis dan aktiviti harian pekerja binaan yang tinggal di premis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

Menurutnya, pihak SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

“Sains tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan mencuri air dan akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan berkenaan.

“Orang ramai juga digalak membantu dengan melaporkan sebarang kes curi air kepada talian bebas tol Sains 1-800-88-6982,” katanya.