Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Seramai 1,365 pesawah Kelantan rugi lebih RM26 juta akibat banjir -

Seramai 1,365 pesawah Kelantan rugi lebih RM26 juta akibat banjir

SERAMAI 1,365 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di Kelantan mengalami kerugian mencecah RM26.19 juta akibat banjir melanda negeri Februari lepas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Kamarudin Md Nor berkata kerugian itu membabitkan kerosakan tanaman padi seluas 4,500 hektar dan antara kawasan terjejas teruk ialah di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.

“Ramai pesawah terkesan dengan banjir baru-baru ini memandangkan ketika itu padi yang diusahakan sedang membesar dan ada juga yang telah mengeluarkan hasil namun tidak sempat dituai sehingga menyebabkan kerugian yang besar.

“Kita telah maklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membantu pesawah terkesan, namun disebabkan kerugian membabitkan nilai besar, pihak kementerian sedang berusaha untuk memohon bantuan dari Kementerian Kewangan dan kita sedang menunggu keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra dan berbuka puasa KADA bersama pengamal media Kelantan, di sini semalam, yang turut dihadiri Pengurus Besar KADA Nik Roslan Idris.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Kamarudin berkata bagi meningkatkan pengeluaran padi, KADA bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan 100 hektar kawasan tanah terbiar di jajahan Tumpat dan Pasir Mas.

Katanya, usaha itu antara langkah KADA bagi meningkatkan pengeluaran tanaman padi yang semakin berkurangan susulan kawasan KADA semakin mengecil akibat faktor pembangunan yang kini hanya berbaki 26,000 hektar berbanding pada awalnya seluas 40,000 hektar.

“Kita telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada akhir Februari lepas bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Kelantan dan selepas ini kerja-kerja memulihkan tanah terbiar itu akan bermula dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.

“Tanah terbiar yang dikenal pasti ini perlu dipulihkan terlebih dahulu memandangkan ia mempunyai keasidan tinggi. Malah kita juga mempunyai kepakaran dalam hal ini (pemulihan tanah),” katanya.- BERNAMA