Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS digesa menyiasat dakwaan terdapat satu komplot yang mahu menghina dan mencemarkan badan kehakiman negara menerusi tuduhan dilemparkan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha tersebut dilakukan pihak tertentu dan jelas terdapat satu perancangan besar di sebalik dakwaan terhadap Mohd. Nazlan.
“Adalah ironis bahawa seorang hakim yang berintegriti dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik telah dikaitkan dengan dakwaan melakukan salah laku dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“Ini amat berbahaya dan sebab itu wakil parti Amanah membuat laporan polis di semua negeri supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Utara, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, polis juga digesa menyiasat pihak yang bertanggungjawab membangkitkan kebencian terhadap Mohd. Nazlan dan memburuk-burukkan badan kehakiman negara.
Parti Amanah katanya, akan membuat susulan dengan pihak berkuasa mengenai langkah seterusnya selepas siasatan selesai.
“Apa yang penting ialah kita perlu membuka mata orang ramai tentang usaha pihak berkenaan untuk mengganggu kehakiman negara,” katanya.
Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.
Pada 21 April, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.
Mohd. Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.