Nak tengok konsert Search mana satu ni?

0
836

JUN ini menjadi bulan yang memberi tuah kepada peminat muzik genre rock apabila mereka berpeluang untuk menyaksikan dua konsert daripada dua versi kumpulan lagenda, Search.

Setelah berlaku perpecahan kepada kumpulan berkenaan, Search kini mempunyai dua versi – satu menggunakan vokalis asal, Amy manakala satu lagi merekrut anggota baharu dari Indonesia,Denden Gonjalez sebagai vokalis.

Search versi Noordin, Kid, Yan, Minn dan Denden akan beraksi di atas bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada malam 11 Jun.

Manakala seminggu sebelum itu pada 4 Jun, Search versi Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal akan beraksi di dewan konsert baharu bertaraf global, Zepp Kuala Lumpur.

Memetik laporan Astro Awani, konsert yang menyaksikan Search versi Amy, Endemik akan menjadikan mereka sebagai artis pertama membuka tirai di dewan bertaraf dunia itu.

Konsert yang bakal menelan kos lebih RM 1 juta ini juga dianggap kemuncak kerjaya Search yang telah bermula sejak 40 tahun lalu, dan peminat yang hadir akan menyaksikan persembahan terbaik yang pernah disaksikan mereka.

“Semestinya kami mahu tampilkan penanda aras baharu dalam muzik. Keseluruhan konsert mesti menggambarkan, inilah muzik hari ini.

“Sekarang kami sudah matang jadi tentu kami mahukan tunjukkan kematangan itu kepada penonton. Tetapi dalam masa yang sama Search tidak boleh lari daripada nostalgia, lagu-lagu yang menjadi kenangan dan peneman perjalanan hidup peminat, itu juga tidak boleh dilupakan,” kata Amy.

Search versi Amy akan mempersembahkan lagu-lagu baharu yang belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini selain hits klasik mereka.

Sementara itu, satu lagi kumpulan Search yang akan beraksi di bumbung Kompleks Campbell menamakan persembahan mereka sebagai Rockin’ On Rooftop.

Pengarah projek itu, Yusrizan Yusof berkata, kumpulan ini akan mempersembahkan hingga 17 lagu yang jarang tidak pernah dimainkan.

“Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal.

“Jadi, kali ini kita nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya kepada Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here