IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang mengesan waris lelaki mangsa bunuh yang mayatnya ditemukan terapung serta mula reput dalam kolam berhampiran Kawasan Perindustrian Kanthan Baru, Chemor, Ipoh, 18 April lalu.
Harian Metro melaporkan, mayat lelaki dengan ketinggian 164 sentimeter dan berat kira-kira 50 kilogram berusia 25 hingga 40 tahun itu ditemukan tanpa dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki itu disyaki dibunuh berdasarkan siasatan di tempat kejadian.
“Bedah siasat juga mendapati punca kematiannya adalah kecederaan disebabkan pukulan objek tumpul berulang kali dan kecederaan dalaman pada leher.
“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang reput dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya. Mangsa dibunuh tiga hingga lima hari sebelum mayat dijumpai.
“Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-9093362.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.