KERAJAAN didesak supaya memberi penjelasan berhubung pendakwaan syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah menerusi transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 oleh Mahkamah Perancis.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan dan pihak yang berkaitan perlu segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana pihak yang terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia.
“Saya meneliti laporan terkait Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.
“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris dan pihak berkuasa Malaysia seolah-olah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Semalam, satu sumber rapat dalam siasatan kes itu berkata, Mahkamah Perancis mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.
Kes yang mencetuskan polemik itu pada asalnya dibuka pada 2010 dan akhirnya memberi kesan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib adalah Menteri Pertahanan ketika perjanjian perolehan dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah Agosta dari unit limbungan tentera laut DCN Perancis (kini sebahagian daripada Thales) itu ditandatangani, membabitkan nilai kontrak AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion).
Laporan itu juga menyebut pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat perjanjian pembelian itu dan beliau dituduh menyembunyikan kos tambahan 114 juta Euro (RM529 juta) bagi kerja perunding oleh sebuah firma yang mana Abdul Razak adalah pemegang saham terbesar.
Sumber berkata, kesemua sembilan defendan, termasuk Thales didakwa di Perancis dan penyiasatan berhubung kes terbabit ditutup pada Januari lalu.
Desakan sama dinyatakan oleh Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) semalam, supaya kerajaan membuka semula siasatan ke atas pembelian kapal selam Scorpene.
Naib Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin berkata, ia susulan laporan agensi berita antarabangsa AFP, bahawa Mahkamah Perancis mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam itu kepada Malaysia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.